DI TEPI PUNCAK DAN TEBING
(Catatan di Rumah Puisi Taufiq Ismail)
Menghitung detak dan kelok
warna kota membalam selayang
mendaki ini menduga kita
tak henti tiada jeda
manusia dan kekalutan
hirup segar hidup sedang
ruang sesak di pergunungan.
Puncak ini membuka jendela
antara hamparan murni alam
keruwatan buana pertempuran laba
untuk membuka medan bergulat
juga sering pula menjerat.
Di tepi puncak dan tebing
kita disapa angin tenang
di dalam gedung nan hening
kami di bujuk takjub senang
dengan akal, kita mendaki
dengan cekal, kita mengaji.
Pujangga silam bersabda
mengkhabarkan membuka cerita
mengorak cara laku berbudaya
dan kami disini menyusun baris-baris
timbunan mutiara akal budi.
Tenang di puncak Padang Panjang
dengan tangan terbuka
terima kasih, penyair
melestarikan wangsa
menduniakan kami seadanya.
MENUNGAN DI TENGAH TAMBAK
Antara nyata dan kenyataan tarikan cahaya dan tarian warna
sahutan tekad tarikan sesuap keberuntungan – laba dan nyawa
kemahuan dan sokongan di tali kehidupan – harapan ke sentosa
maka, lenyap lah pertarungan suntuk maha rana membawa impian
jasad-jasad patung wayang purwa mobiliti merentas sehari-hari
tanpa tiada berputusan kejaran sore membelah masa dan usia
aduh, panas berbahang ditanggung bersama ukiran senyuman pagi esok
jerih kelesuan – rapuh dan kian reput, longkah serabut menyesakkan
di tengah tambak berkawad barisan wajah kelas di dada kenaikan
bersama-sama kompleksiti manusiawi membina kompas mandiri.
Menungan petang ini di antara perjalanan, pencarian dan pengalaman
melahirkan percikan kedewasaan – merenungi mengingatkan hakikat
ada cerita dan derita antara ruang masa yang panjang di dua tepian
yang mencatat perjalanan sejarah berkurun waktu dan ketidaktentuan
katanya, daripada watak peneroka mula kepada sandiwara penguasa boneka
memancing pena wacana, kebolehan sutradara menyinarkan bintang di selatan
godaan: daratan wangsa besar, gugusan segara serantau bahkan atas angin jua
mengutip menyusun lembaran silang bunga akal budi sarwajagat
nah inilah milieu kumpuan nan sebu, perihal padat sesungguhnya!
Sore terus memujuk menungan sebelum bertebaran senja raya
panasaran yang kian berkumpul bersama teman jelak dan teruja
kerlingan di sisi menikmati saluran gergasi memanjang, terang
mudah dikesan, di antara susunan kereta dan kata-kata
lanjaran hijau jaringan warisan perdana, untaian waktu
ia membawa kita – perjalanan masa yang masih dikira
lagi kepala ulung dimohon memadam lelah berzaman
bicara kira-kira, timbangan hitung-menghitung
bersama matahari rembulan masih tergantung
ya aku di tepian cerita masih termenung kosong
dan di tengah tambak, manusia sekeras patung.
MEI YANG MEMELUK ALAM MESRA
Mei ini dan kaki menginjak memeluk musim semi
bersama sepikul tugas kabur dan harapan rabun
tanah membungakan hijau dalam dingin kabus
hari yang tidak mendesak – itu yang terlihat.
Tanah ini ada luka sejarah merah dijarah dan adicita
menyambut salama abad millennium dengan
membuka pintu dewasa, harmoni satuan
arca moden dan patung batu Dol Hareubang.
Inilah kami memimpin warga dunia
dengan menjual wajah remaja dan
keghairahan girang budaya semasa
lukisan landskap asli, kulinari segar
motokar modeniti, untuk keluar dari timur
identiti nasional baharu – berentak rancak
menari di atas pentas antara semua.
Mei ini menyambut sinaran mentari manja
menyubur anak-anak ketawa dan alam gembira
kehijauan dan kesukaan menjalar di mana-mana
hamparan nikmat menggamit wisatawan mari
dan Mei, diraikan dengan girang hati sekali.
Ilustrasi: Kalikuma Studio
Dilahirkan di Alor Setar, Malaysia pada tahun 1988, menetap di Pulau Langkawi. Alumni Universitas Sains Malaysia untuk Ijazah Sarjana Muda Sastra (Kesusasteraan) (2008-2012) dan Ijazah Sarjana Sastera (Kesusasteraan) (2012-2014). Banyak menulis seperti puisi, cerpen, skrip sketsa, zine, komentar, resensi buku, prakata, laporan berita, artikel, kertas kerja dan buku. Penulisan beliau telah tersiar di akhbar, majalah, buletin, antologi bersama dan media digital di Malaysia dan Indonesia.